SOALAN LAZIM
Berikut adalah mereka yang layak melabur dalam AHB:
- Bumiputera Malaysia
- Akaun Dewasa (18 tahun ke atas);
- Akaun Remaja (bagi pemohon bawah umur dan kanak-kanak berumur tiga (3) bulan dan ke atas tetapi di bawah usia 18 tahun dibawah nama penjaga yang sah. Kedua-dua penjaga yang sah dan kanak-kanak tersebut mestilah Bumiputera Malaysia);
- Institusi Bumiputera sebagaimana yang ditetapkan oleh Penaja dan Pengurus; dan
- Lain-lain seperti yang ditetapkan oleh surat ikatan
Anda dinasihatkan supaya membaca dan memahami kandungan prospektus AHB, yang telah didaftarkan dengan Suruhanjaya Sekuriti (SC), sebelum melabur dalam AHB. Salinan prospektus dan borang permohonan boleh didapati di mana-mana cawangan pengedar yang sah di Malaysia.
Anda boleh membeli unit AHB di mana-mana cawangan pengedar yang sah diseluruh Malaysia pada mana-mana Hari Perniagaan pada waktu kerja. Anda dinasihatkan supaya:
- Meminta bantuan di Kaunter Pertanyaan
- Anda akan dirujukkan kepada Penasihat Kewangan Peribadi (PFA) yang akan memberikan penjelasan lanjut tentang AHB
- Isi 'Borang Pendaftaran - Akaun Dewasa' atau 'Borang Pendaftaran - Akaun Kanak-Kanak/Remaja', mengikut mana-mana yang berkenaan
(Sila ambil perhatian bahawa anda dikehendaki menyatakan nombor akaun bank dalam borang ini. Ini bagi memudahkan pembayaran agihan pendapatan, jika ada, kerana agihan pendapatan akan dibayar terus ke dalam akaun anda. Caj minimum akan dikenakan bagi menampung kos urus niaga untuk pembayaran agihan pendapatan.) - Mengemukakan borang yang lengkap berserta Kad Pengenalan anda, atau MyKad / salinan asal sijil beranak (bagi individu berumur tiga (3) bulan hingga 18 tahun) dan jumlah pelaburan dalam bentuk tunai atau cek jurubank di kaunter. Seterusnya, salinan Borang Pendaftaran yang disahkan akan dikeluarkan kepada anda sebagai bukti pelaburan anda.
Harga seunit telah ditetapkan pada RM1.00.
Pelaburan permulaan minimum ialah RM100 bagi setiap individu untuk pelaburan tunai.
Pelaburan maksimum ialah RM1,000,000 bagi setiap individu. Pengurus mempunyai budi bicara untuk mengubah had ke atas pelaburan oleh mana-mana individu dan/atau institusi Bumiputera.
Pelaburan tambahan minimum ialah RM50 bagi setiap individu untuk pelaburan tunai.
Jumlah minimum penebusan ialah RM100 bagi setiap individu. Jumlah minimum penebusan bagi Institusi Bumiputera akan ditentukan oleh Pengurus dan Penaja. Anda boleh menebus unit anda dengan mengisi Borang Jualan Balik di kaunter.
(Sila ambil perhatian bahawa baki yang tinggal dalam akaun anda mestilah sekurang-kurangnya RM100. Jika tidak anda akan dikehendaki menebus semua baki anda dan akaun anda akan ditutup.)
Penebusan hanya boleh dibuat sekali dalam setiap bulan kalendar.
Anda boleh membayar secara tunai atau cek jurubank (cek persendirian tertakluk pada penjelasan cek).
Pelaburan anda akan dibuktikan melalui salinan Borang Pendaftaran yang telah disahkan apabila anda membuat pembelian unit AHB.
Penyata akan dikeluarkan setiap enam bulan sekali yang menunjukkan baki pelaburan anda dalam AHB. Sebagai tambahan, anda boleh meminta penyata anda dicetak di mana-mana cawangan pengedar yang sah dengan menunjukkan kad pengenalan anda. Walau bagaimanapun, penyata tidak akan dikeluarkan serta-merta apabila permintaan dibuat. Pengedar yang sah akan menghubungi anda apabila penyata siap untuk diambil.
Agihan pendapatan (jika ada) akan dilakukan setiap setengah tahun.
Apa-apa agihan daripada Dana akan dibayar sepenuhnya secara tunai dan/atau Unit-unit.
Sekiranya pengagihan adalah dalam bentuk tunai, pengagihan tersebut akan dikreditkan ke dalam akaun bank anda secara automatik.
Bagi sebarang pengagihan dalam bentuk Unit, Unit tersebut akan dikreditkan ke dalam akaun AHB Pemegang Unit.
Tiada Caj atau Fi secara langsung yang dikenakan. Anda boleh membeli dan menjual unit pada harga yang ditetapkan sebanyak RM1.00 per unit bagi urusniaga tunai.
Tiada tempoh matang kerana tempoh pegangan untuk AHB tidak ditetapkan, tertakluk pada syarat surat ikatan dan dokumen urus niaga.
Pindahan unit tidak dibenarkan, kecuali bagi yang berikut:
- pindahan kepada dan daripada Penaja; atau
- pindahan kepada pemegang amanah, pentadbir atau wasi harta pusaka bagi pemegang unit yang sudah meninggal dunia, yang berhak didaftarkan sebagai pemegang unit menurut Seksyen 313 Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007; atau
- pindahan kepada dan daripada institusi kewangan yang telah menyediakan pembiayaan kepada Pemegang Unit untuk pembelian unit-unit itu.
Ya, AHB mempunyai had pelaburan berikut untuk hartanah dan aset berasaskan tunai patuh Syariah.
Pelaburan Patuh Syariah | Had berdasarkan Nilai Dana pada kos |
Pemunyaan benefisial hartanah di Malaysia | 34% - 100% |
Instrumen pasaran wang / wang tunai | 0% - 66% |
Pada 20 Oktober 2010, AHB telah melancarkan saiz dana permulaan sebanyak 1 bilion unit. Saiz dana semasa adalah 5.0 bilion unit.
Yuran-yuran Lain | Amaun |
Yuran tahunan pengurusan | Sehingga maksimum 1.00% setahun daripada Nilai Dana (VOF), dikira dan diakru secara harian, seperti yang dipersetujui antara Pemegang Amanah dan Pengurus. |
Yuran tahunan pemegang amanah | Sehingga 0.08% setahun daripada VOF, tertakluk kepada minima RM18,000 setahun. |
Pengisytiharan agihan pendapatan adalah tertakluk kepada budi bicara Penaja yang mungkin mengagihkan keuntungan modal sebagai Hibah atau melabur semula ke dalam aset lain, selepas mempertimbangkan tindakan yang terbaik bagi manfaat para pelabur. Sebagai pelabur, anda akan terus menikmati pemunyaan benefisial ke atas dana dan menerima aliran pendapatan sewaan yang tetap daripada portfolio tersebut.
Dalam membincangkan tentang zakat ke atas pelaburan AHB, para pelabur selalunya tidak pasti jika pelaburan modal mereka perlu dizakatkan. Pelaburan modal AHB tidak perlu dibayar zakat kerana pelaburan modal tersebut dianggap sebagai modal perniagaan untuk dilaburkan dalam bidang hartanah bagi tujuan sewaan. Hartanah yang diniatkan untuk sewaan hanya diwajibkan zakat ke atas hasilnya sahaja tanpa perlu membayar zakat ke atas asetnya. Para pelabur juga tidak perlu mengeluarkan zakat ke atas hasil pendapatan yang diperolehi daripada pelaburan AHB kerana hasil pendapatan tersebut adalah bersih selepas zakat. Dalam erti kata lain Dana AHB telah pun membayar zakat ke atas hasil pendapatan sebelum ianya diagihkan kepada para pelabur.
Untuk sebarang pertanyaan dan permintaan, anda boleh menghubungi mana-mana cawangan Maybank, Ambank, Ambank Islamic atau Bank Islam terdekat. Selain itu, anda juga boleh menghubungi Pengurus Dana, PHB Asset Management Berhad (PHBAM), di (03) 7734 0555.
Secara umum, unit yang tersedia untuk langganan dalam akaun adalah 1,000,000 unit tolak dengan unit-unit semasa (modal + pendapatan yang dilabur semula, jika ada).
Sila rujuk kepada contoh di bawah:
Contoh 1: Jika akaun tersebut mempunyai modal sebanyak 480,000 unit dan tiada pendapatan yang dilabur semula.
Baki unit yang tinggal untuk langganan = 1,000,000 unit - 480,000 unit = 520,000 unit
Contoh 2: Jika akaun tersebut mempunyai modal sebanyak 480,000 unit dan pendapatan yang dilabur semula adalah 20,000 unit.
Baki unit yang tinggal untuk langganan = 1,000,000 unit - (480,000 unit + 20,000 unit) = 500,000 unit